Monday, October 10, 2016

Bertabahlah duhai diri! Ujian itu adalah tanda Allah peduli

Wahai Jiwa Yang Tenang,

Apa khabar imanmu duhai diri? Moga-moga imanmu masih kukuh dan teguh walau acapkali dirempuh.

Bertahanlah. Bertabahlah.
Sememangnya dugaan demi dugaan yang kamu lalui itu sebenarnya adalah pemangkin kepada kekuatanmu sayang.


Ujian itu adalah lumrah dalam kehidupan.

Walau sebagaimana ombak badai melanda, pasakkan iman di dada. Jangan lemah duhai diri. Jangan beranggapan bahawa kamu sedang bersendiri.


Jangan beranggapan bahawa tiada yang sudi menemani. Jangan gusar, jangan cepat mengalah duhai diri.Pasti kamu sendiri menjadi sangsi. Mengapakah perjalanan hidupmu ini terlalu berliku dan berduri?

Pabila semakin kamu ingin mendekati-Nya, semakin banyak tujahan demi tujahan yang merintangi laluanmu. Seolah-olah ia sengaja meremukkan azam yang tertanam di dalam diri.

Sehinggakan kamu acapkali menangisi setiap yang terjadi!

Allah, jangan membiarkan ujian-ujian itu membunuh keinginanmu untuk berada di jalan-Nya.

Ketahuilah duhai diri, ujian itu adalah tanda Dia peduli. Ujian itu adalah bukti kasih sayang dari Ilahi. Masakan Dia bisa membiarkan kamu berlapang dada serta bersenang-lenang tanpa ujianNya?

DIA rindukan suaramu duhai diri. DIA memilihmu di antara jutaan manusia-manusia lain kerna DIA ingin mendengar tiap rintihan dan doamu. Betapa sayangNYa DIA akan kamu. Betapa peduliNya DIA akan kamu.

Bersyukurlah duhai diri. Kamu masih bernafas dengan sendiri. Kamu masih mampu mengorak langkah dan berlari.

Dan kamu masih bisa menjalani hari demi hari walau segala yang berlaku mengocak tenang di dalam diri.

Aduhai jiwa yang sarat dengan cinta,

Mengapa memilih untuk terseksa dan menderita? Andai ia cinta, mengapa perlu ada kisah-kisah airmata yang berjela-jela berbanding kisah-kisah gelak dan tawa. Cinta itu halus dan rapuh sifatnya.

Jika dirimu sandarkan cinta itu tanpa pegangan iman, pasti ia musnah dan hilang dari genggamanmu sayang. Cinta pada manusia itu tidak menjamin kepada kehidupan berumahtangga kelak.

Pasti akan rapuh. Pasti akan remuk. Pasti akan runtuh.

Lepaskan ia pergi dari hati. Benarkan ia terbang mencari pegangannya sendiri. Andai ia tertulis bahawa kamu tidak akan memiliki, usah ditangisi ketentuan ilahi.

Pasti punya hikmah yang tersembunyi. Pasti ada rencanaNya yang lebih membahgiakan dirimu nanti.

Percayalah duhai diri, bahagia itu pasti ada untuk dirimu yang tak pernah berhenti mencari.

Bukan Allah tidak tahu akan deritanya batinmu itu, sakitnya hatimu itu dan tercalarnya perasaanmu yang halus itu.

Tapi sayang, kepedihan dan kesakitan itulah yang akan membawa kamu mendekati Tuhanmu.

Pada DIA ada penawar segala beban dan duka. Bukankah 99 sifatNya itu sudah cukup meyakinimu untuk menyerahkan segala harapan dan keinginanmu sayang.


Bebaskan ia terbang untuk mencari arahnya sendiri sayang.

Jangan berterusan menganggap dirimu telah dilukakan, sebaliknya lihatlah dari sudut pandang yang berlainan. Mungkin ini teguran dari Tuhan. Mungkin juga ini peringatan agar kamu tersedar dari mimpi yang panjang.

Cinta sesama manusia itu melalaikan iman dan mengundang kemurkaan demi kemurkaan dari Tuhan.

Dan teguran dariNya itu adalah bukti cinta yang sejati dari Ilahi.


Duhai diri yang tenang riaknya,

Apa mahumu? Apa keinginanmu? Apa hendakmu sayang?

Luahkan, lontarkan dan tuturkan agar semuanya bisa faham. Usah dipendam segala rasa hatimu itu. Biarkan semua tahu. Biarkan semesta alam mengerti akan apa yang sebenar-benarnya tersirat di hati

Aduhai diri, andai bahagia yang dicari selama ini, bersyukurlah kerna dirimu telah ketemui. Bahagia itu tidak terletak pada sesuatu perkara sahaja. Bahagia itu universal sifatnya. Pejamkan mata duhai diri.

Dan cubalah mengingati setiap senyum dan tawa yang kamu rasai semenjak kedewasaan kamu ini. Pasti cukup banyak duhai diri. Pasti!

Akhir kalam, tersenyumlah duhai diri. Tertawalah, bergembiralah, berbahagialah dan bersyukurlah untuk segala yang terjadi pada masa kini dan pada masa hadapan nanti.

Walau hidup ini dirasakan terlalu sukar untuk dilalui, usah gentar duhai diri. Sang Rabbul Izzati ada menemani untuk disetiap keadaan dan situasi.

Bertabahlah duhai diri!


*Altikel ini adalah perkongsian dari cik merah, semoga memberi manfaat pada kita semua. 

Tuesday, January 26, 2016

Biodata ringkas dan salasilah Nabi Muhammad S.A.W.


BIODATA RASULULLAH SAW.

Nama: Muhammad bin ' Abdullah bin ' Abdul Muttalib bin Hashim

Tarikh lahir: Subuh Isnin, 12 Rabiulawal / 20 April 571M (dikenali sebagai tahun gajah, sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Ka ‘ abah)

Tempat lahir: Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah
Nama bapa: 'Abdullah bin ' Abdul Muttalib bin Hashim

Nama ibu: Aminah binti Wahab bin ‘ Abdul Manaf

Pengasuh pertama: Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW)

Ibu susu pertama: Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab)

Ibu susu kedua: Halimah binti Abu Zuaib As-Sa ‘ diah (lebih dikenali Halimah As-Sa ‘ diah. Suaminya bernama Abu Kabsyah)

Tarikh Kewafatan: Hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11H / 8 JUN 632m

Tempat Wafat: Madinah Al - Munawwarah
Usia: 63 tahun

Bentuk Fizikal: Baginda Digambarkan sebagai seorang yang tegap, Ketinggian sederhana, Tidak Terlalu Tinggi Tidak Terlalu Rendah. 
Baginda Berkulit Putih Kemerah merahan. 
Wajahnya Tampan, Rambut Nabi S.A.W Tidak Terlalu Kerinting Tidak Terlalu Lurus, Rambutnya Ikal dan Mencecah Bahu. 
Kata-kata Baginda Lembut tetapi Bernada Tegas.
Baginda Memiliki bola mata yang Hitam Pekat, Bulu Mata Yang Lentik serta Bahu Yang Lebar, Dada Baginda Berbulu, Telapak Tangan Dan Kaki Baginda tebal. 
Ketika Berjalan, Baginda Seakan - akan Berjalan Menuruni Tanah Yang Lanai. Ketika Menoleh,Baginda Menoleh(berbalik) Dengan Seluruh Badan. 
Diantara kedua Bahu Baginda Terdapat Tanda Kenabian.

Warna Kegemaran: Merah, Hijau, Putih

Makanan Kegemaran: Bali, buah kurma, buah tin dan buah anggur.

Sukan: Menunggang Kuda, Memanah Dan Berenang.




USIA 5 TAHUN 

  • Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalamnya.


USIA 6 TAHUN 


  • Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa ‘ (sebuah kampung yang terletak di antara Mekah dan Madinah)
  • Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muttalib.
USIA 8 TAHUN
  • Datuknya, ' Abdul Muttalib pula meninggal dunia.
  • Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.



USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun). 

  • Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan.
  • Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua - ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.
    USIA 20 TAHUN
    • Terlibat dalam peperangan Fijar . Ibnu Hisyam di dalam kitab ' Sirah ', jilid1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.
    • Menyaksikan ' perjanjian Al-Fudhul ' ; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Mekah.
    USIA 25 TAHUN
    • Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah.
    • Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah.
    • Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.
    • Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.


    USIA 35 TAHUN

    • Banjir besar melanda Mekah dan meruntuhkan dinding Ka ' abah.
    • Pembinaan semula Ka ' abah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Mekah.
    • Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ' Hajarul-Aswad ' ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.


    USIA 40 TAHUN

    • Menerima wahyu di gua Hira ' sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.


    USIA 53 TAHUN

    • Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.
    • Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.


    USIA 63 TAHUN

    • Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11H/ 8 Jun 632M.


    ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW.

    • Khadijah Binti Khuwailid
    • Saudah Binti Zam ‘ ah
    • ‘Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar)
    • Hafsah binti ‘ Umar (anak Saidina ‘ Umar bin Al-Khattab)
    • Ummi Habibah Binti Abu Sufyan
    • Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah)
    • Zainab Binti Jahsy
    • Maimunah Binti Harith
    • Safiyah Binti Huyai bin Akhtab
    • Zainab Binti Khuzaimah (digelar ' Ummu Al-Masakin '- Ibu Orang Miskin)


    ANAK-ANAK RASULULLAH SAW

    1. Qasim 
    2. Abdullah 
    3. Ibrahim 
    4. Zainab 
    5. Ruqaiyah 
    6. Ummi Kalthum 
    7. Fatimah Al-Zahra ‘

    ANAK TIRI RASULULLAH.

    Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).

    SAUDARA SESUSU RASULULLAH SAW

    IBU SUSUAN/SAUDARA SUSUAN.
    1. Thuwaibah 1. Hamzah

    2. Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad


    SAUDARA SUSUAN
    1. Halimah Al-Saidiyyah 1. Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
    2. Abdullah bin Harith bin Abdul ' Uzza
    3. Syaima ' binti Harith bin Abdul ' Uzza
    4. ' Aisyah binti Harith bin abdul ' Uzza

    BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SAW (ANAK-ANAK KEPADA ABDUL MUTTALIB)

    • Al-Harith
    • Muqawwam
    • Zubair
    • Hamzah - (**)
    • Al - 'Abbas - (**)
    • Abu Talib
    • Abu Lahab (nama asalnya ' Abdul ' Uzza)
    • Abdul Ka ‘ bah   
    • Hijl
    • Dhirar
    • Umaimah
    • Al-Bidha (Ummu Hakim)
    • 'Atiqah - (#)
    • Umaimah
    • Barrah
    • Safiyah (ibu kepada Zubair Al- ' Awwam) 

     
    (**) Sempat masuk Islam.
    (#)  - Ulama berselisih pendapat tentang Islamnya.


    Sabda Rasulullah SAW:

    "Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga." (Riwayat Al-Sajary daripada Anas RA)

    Thursday, February 6, 2014

    9 Mimpi Rasulullah

    Daripada Abdul Rahman Bin Samurah ra berkata, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
    “Sesungguhnya aku telah mengalami mimpi-mimpi yang menakjubkan pada malam aku sebelum di Israqkan……..”

    1. Aku telah melihat seorang dari umatku telah di datangi oleh malaikatul maut dengan keadaan yg amat menggerunkan untuk mengambil nyawanya, maka malaikat itu terhalang perbuatannya itu disebabkan oleh KETAATAN DAN KEPATUHANNYA KEPADA KEDUA IBUBAPANYA.

    2. Aku melihat seorang dari umatku telah disediakan azab kubur yang amat menyiksakan, diselamatkan oleh berkat WUDUKNYA YANG SEMPURNA.

    3. Aku melihat seorang dari umatku sedang dikerumuni oleh syaitan-syaitan dan iblis-iblis lakhnatullah, maka ia diselamatkan dengan berkat ZIKIRNYA YANG TULUS IKHLAS kepada Allah.

    4. Aku melihat bagaimana umatku diseret dengan rantai yang diperbuat daripada api neraka jahanam yang dimasukkan dari mulut dan dikeluarkan rantai tersebut ke duburnya oleh malaikut Ahzab, tetapi SOLATNYA YANG KHUSUK DAN TIDAK MENUNJUK-NUNJUK telah melepaskannya dari seksaan itu.

    5. Aku melihat umatku ditimpa dahaga yang amat berat, setiap kali dia mendatangi satu telaga di halang dari meminumnya, ketika itu datanglah pahala PUASANYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH S.W.T. memberi minum hingga ia merasa puas.

    6. Aku melihat umatku cuba untuk mendekati kumpulan para nabi yang sedang duduk berkumpulan-kumpulan, setiap kali dia datang dia akan diusir, maka menjelmalah MANDI JUNUB DENGAN RUKUN YANG SEMPURNANYA sambil ke kumpulanku seraya duduk disebelahku.

    7. Aku melihat seorang dari umatku berada di dalam keadaan gelap gelita di sekelilingnya, sedangkan dia sendiri di dalam keadaan binggung, maka datanglah pahala HAJI DAN UMRAHNYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH S.W.T. lalu mengeluarkannya dari kegelapan kepada tempat yang terang – benderang.

    8. Aku melihat umatku cuba berbicara dengan golongan orang mukmin tetapi mereka tidakpun membalas bicaranya,maka menjelmalah SIFAT SILATURRAHIMNYA DAN TIDAK SUKA BERMUSUH-MUSUHAN SESAMA UMATKU lalu menyeru kepada mereka agar menyambut bicaranya, lalu berbicara mereka dengannya.

    9. Aku melihat umatku sedang menepis-nepis percikan api ke mukanya, maka segeralah menjelma pahala SEDEKAHNYA YANG IKHLAS KERANA ALLAH S.W.T. lalu menabir muka dan kepalanya dari bahaya api tersebut.

    BERSABDA RASULULLAH S.A.W. : “SAMPAIKANLAH PESANANKU KEPADA UMATKU YANG LAIN WALAUPUN DENGAN SEPOTONG AYAT”

    Thursday, January 23, 2014

    ALLAH sedang mendidikmu menjadi wanita hebat!

    Bismillahirahmanirahim

    Rasulullah SAW bersabda:

    Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela selepas wafatku kepada kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita

    (Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tarmidzi, Nasa'i dan Ibn Majah)

    Benarkah begitu sukar menjadi seorang wanita? Apatah lagi seorang wanita muslimah yang mukminah? Adakah dengan menjadi seorang mukminah, seorang muslimah itu perlu bersembunyi di dalam rumah, tidak bergaul dengan sesiapa serta menutup seluruh tubuhnya? Hanya perlu terlihat dua biji mata untuk mengelakkan fitnah?

    Tidakkah wanita mukminah itu juga punya peluang? Berubah mengikut peredaran waktu. Zaman sekarang adalah zaman moden. Wanita sudah berdiri sama tarafnya dengan lelaki. Wanita juga perlu ditonjolkan kedepan. Malah, wanita punya hak untuk menjadi pemimpin.

    Dr.Zainab Ridhwan telah menyebut dalam kitabnya Al Islam Wa Qadhaya Al-Mar'ah:

    Barangsiapa mengerjakan amal amal soleh, lelaki mahupun wanita, sedangkan dia beriman, mereka itu masuk syurga dan tidak dianiaya walau sedikit pun.

    Terbukti! Tidak pernah ada perbezaan dari segi penerimaan amalan kebaikan lelaki dan wanita. Sesiapa yang berlumba lumba melakukan kebaikan (fastobul khairat), maka dialah yang berhak mendapat pembelaan di sisi ALLAH SWT. ALLAH itu bersifat Al-Adl (Yang Maha Adil) terhadap hamba hambaNYA.

    Malah Rasulullah SAW sendiri tidak pernah membelakangkan wanita dalam aspek perjuangan ISLAM. Menyebut kembali kisah Hudaibiah, ketika Nabi Muhammad S.A.W mengarahkan para sahabat bertahalul dan menyembelih korban, sedangkan mereka tidak dibenarkan memasuki Makkah untuk menunaikan umrah, kerana dihalang oleh kaum Quraisy. Kaum Muslimin merasa keberatan lalu mereka tidak berkorban. Nabi Muhammad S.A.W menjadi khuatir tentang hal ini tetapi baginda juga merasa keberatan untuk menyalahi para sahabat. Justeru itu, Ummu Salamah mencadangkan agar Rasulullah SAW keluar dari rumahnya tanpa memberitahu sesiapapun dan menyembelih korbannya. Nabi Muhammad S.A.W melaksanakan pandangan isterinya. Selepas itu, semua orang segera menyembelih korban mereka. Maka berakhirlah krisis ini dengan pandangan seorang wanita kepada Rasulullah SAW.

    Sesuai dengan ciptaanya yang sungguh indah dan menjadi mawar yang didambakan sang kumbang, pengaruh wanita juga amat kuat untuk menaikkan dan menjatuhkan seorang lelaki. Jangan pernah sekali terlupa bahawa permulaan keruntuhan kerajaan Firaun adalah berpunca dari isterinya. Asiah mampu menggugat pendirian Firaun yang bertegas untuk membunuh semua anak anak Bani Israel kecuali Nabi Musa A.s. Firman ALLAH:

    Mudah mudahan dia berguna kepada kita atau jadikan dia anak. ( Al-Qasas:9)
    Namun yang paling istimewa lagi mengagumkan iaitu keteguhan Asiah beriman kepada ALLAH SWT yang Maha Esa dan mengingkari ketuhanan Firaun.

    Sahabat sahabat yang dikasihi kerana ALLAH,

    Bersyukurlah dengan sepenuh hati kerana dilahirkan sebagai wanita ISLAM kerana hakikatnya ISLAM adalah penyelamat kepada kemuliaan seorang wanita. Mengambil beberapa contoh kepercayaan kaum kaum tertentu terhadap wanita, kaum Yahudi memandang wanita sebagai laknat yang wajib dijauhi dan tidak dapat dipercayai untuk menjaga rahsia atau tugas tertentu. Kaum Yahudi percaya bahawa 'wanita itu lebih kejam daripada kematian' sebagaimana yang telah disebutkan dalam Kitab Taurat mereka.

    Pandangan kaum Nasrani terhadap wanita juga lebih cenderung memberikan hukum yang menghina, melecehkan dan membenci kaum wanita. Malah peradaban Barat sendiri dipengaruhi oleh asas agama Nasrani. Jika tidak, masakan peradaban barat cenderung untuk memperagakan wanita mereka. Wanita dijadikan alat untuk menaik nafsu, mencari wang dan sebagainya. Bukankah ini sebenar benarnya diskriminasi terhadap wanita?

    Di sebuah wilayah di Perancis tahun 1281, misalnya diadakan persidangan berkisar wanita dengan tema: Wanita, Manusia atau Bukan Manusia?. Persidangan itu malah melahirkan keputusan bahawa wanita adalah manusia yang sengaja diciptakan untuk melayani lelaki.

    Malah bukti yang paling kukuh adalah kedudukan wanitayang begitu keterbawahan dalam masyarakat Arab Jahiliyyah sendiri sebelum kedatangan ISLAM seperti contoh contoh berikut:

    1) Dilarang untuk mendapat hak waris
    2)Tidak ada batasan jumlah isteri dalam pernikahan. Seorang lelaki boleh menikah lebih dari satu isteri tanpa batas
    3)Isteri termasuk harta peninggalan suami. Ketika suami meninggal, isteri menjadi warisan bagi anak anaknya di mana si pewaris bebas menikahi atau menikahkannya dengan siapapun.
    4) Mengubur hidup hidup anak perempuan. Kelahiran bayi perempuan merupakan aib.

    Alangkah bertuahnya kerana dilahirkan dalam suasana wanita begitu diraikan dan diangkat martabatnya dalam ISLAM. Malah, wanita kini diberikan peluang untuk bekerjaya dan menerima pendidikan. SubhanALLAH, dengan peluang sebegini sewajarnya seorang wanita bisa menjadi hebat untuk berbakti kepada agama dan bangsa.

    Setelah segala kebaikan dan rahmat yang diberikan sebagai wanita ISLAM yang mukminah, apa lagi yang perlu dinantikan? Bukan sudah tiba masanya generasi wanita ISLAM untuk segera bangkit berjuang. Perbezaan gender bukanlah halangan besar untuk meraih gelaran bidadari syuhadah di sisi ALLAH.

    Wanita memang terkenal dengan kelembutannya, tetapi yang sebenarnya lembut itu adalah sumber kekuatan bukan kelemahan. Cara dakwah yang terbaik juga melalui kelembutan. Bukankah ALLAH SWT berfirman dalam surah Taha ayat 43-44:

    Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia sudah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata kata yang lemah lembut, mudah mudahan ia ingat ataupun takut.

    ALLAH SWT mengajarkan, untuk mendekati manusia seperti Firaun juga adalah menggunakan kaedah lemah lembut. Bukankah ini satu bonus istimewa buat wanita? Fitrah mu tercipta semulajadi dengan kelembutannya, maka seharusnya kau manfaatkan sebaiknya. Cuma awas, jangan disalahgunakan kelembutan itu untuk menarik yang tidak halal mendekatimu kerana itu bakal membawa bencana dan menjadikan dirimu itu sendiri sebagai bencana.

    Sebagai wanita, mungkin kau juga tidak punya kudrat sehebat kaum pendampingmu seorang lelaki. Namun jangan pernah lupa, memori istimewa seorang lelaki adalah ketika dia pernah menumpangi rahim ibunya selama sembilan bulan. Disitulah terbuktinya kekuatan kudratmu. Janin yang dikandung itu berkongsi nyawa dengan mu. Maka, jangan sekali pernah putus asa, sebaliknya beriltizam lah untuk melahirkan mujahid dan mujahidah yang bakal meneruskan perjuangan.

    Buat wanita yang tidak berpeluang keluar di medan jihad, jangan pernah sekali berasa gundah. Terdapat sebuah kisah menarik yang bisa menjadi pembakar semangat. Hadis riwayat Anas Bin Malik menceritakan perihal Salamah, ibu susuan Ibrahim, putera Rasulullah SAW dan Mariah al-Qibtiah, dia bertanya kepada Rasulullah SAW, "Wahai Rasulullah, engkau telah memberikan khabar gembira dalam segala hal untuk kaum lelaki tetapi tidak untuk kaum wanita."

    Rasulullah SAW berkata, " Adakah rakan rakanmu menghantarmu untuk bertanya seperti itu?"

    Jawabnya, "Benar, mereka menyuruhku."

    Lalu baginda berkata:

    Tidaklah seorang antara kamu merasa reda jika dia hamil daripada benih suaminya dan suaminya bangga dengan kehamilannya itu. Wanita tersebut mendapat pahala sama dengan seorang berpuasa dan berdiri malam di jalan ALLAH dan apabila wanita itu menderita sakit sewaktu melahirkan, maka betapa kegembiraan yang dirasakan dengan lahir permata hatinya yang tidak diketahui penghuni langit dan bumi
    Biar tidak bergerak ke medan jihad, tetapi punya sesuatu untuk disumbangkan ke aras perjuangan. Malah kerelaan wanita itu sendiri mempersiapkan suami atau mahramnya bermujahadah di jalan ALLAH, pasti memberikan ganjaran yang sangat besar untuknya di syurga. Apatahlagi jika dirinya turut bersedia untuk menyediakan diri untuk turut berjuang.

    Semoga melalui perkongsian yang sedikit ini, bisa membakar semangat wanita wanita kerinduan pemuda syurga untuk terus berjuang menegakkan agama di jalannya. Sememangnya seorang wanita itu tidaklah sempurna, pasti ada kekurangannya. Tetapi percayalah bahawa dengan kekurangan itu sebenarnya, ALLAH sedang mendidikmu menjadi wanita hebat. Tak perlu resah dan gelisah jika berasakan diri tidak cukup cantik, tidak cukup ilmu, tidak cukup lembut, tidak cukup ayu dan sebagainya. Setiap kelebihan dan kekurangan seorang wanita adalah didikan ALLAH padanya.

    Terima CINTA atas segalanya
    Jangan gentar, jangan putus asa, teruskan melangkah!
    Kerana kita memburu gelaran bidadari syurga! ^_^

    Monday, January 6, 2014

    Nabi Isa akan diturunkan kembali ke bumi....

     Nabi Isa as. sehingga kini masih hidup dan hanya Allah SWT saja tahu dimana Nabi Isa ditempatkan. Dari keterangan hadis Nabi Muhammad saw. diceritakan bahawa menjelang hari kiamat / akhir zaman, Nabi Isa akan di turunkan oleh Allah SWT dari langit ke bumi 

    Peristiwa itu tergambar dari hadis berikut :

    “Tidak ada seorang nabi pun antara aku dan Isa dan sesungguhnya ia benar-benar akan turun (dari langit), apabila kamu telah melihatnya,maka ketahuilah;bahwa ia adalah seorang laki-laki berperawakan tubuh sedang,berkulit putih kemerah-merahan. Ia akan turun dengan memakai dua lapis pakaian yang dicelup dengan warna merah,kepalanya seakan-akan meneteskan air walaupun ia tidak basah”. (HR Abu Dawud)

    “Sekelompok dari ummatku akan tetap berperang dalam dalam kebenaran secara terang-terangan sampai hari kiamat,sehingga turunlah Isa Ibn Maryam ,maka berkatalah pemimpin mereka (Al Mahdi) : “ Kemarilah dan imamilah shalat kami”. Ia menjawab;”Tidak, sesungguhnya sebagian kamu adalah sebagai pemimpin terhadap sebagian yang lain, sebagai suatu kemuliaan yang diberikan Allah kepada ummat ini (ummat Islam)”. (HR Muslim & Ahmad)

    “Tiba-tiba Isa sudah berada diantara mereka dan berkumandangkanlah solat,maka dikatakan kepadanya, majulah kamu (menjadi imam solat) wahai roh Allah.” Ia menjawab:”Hendaklah yang maju itu pemimpin kamu dan hendaklah dia yang mengimami solat kamu”. (HR Muslim & Ahmad)

    Hal pertama yang dilakukan Nabi Isa setelah turun dari langit adalah menunaikan solat sebagaimana yang dijelaskan oleh hadis-hadis di atas. Nabi Isa akan menjadi makmum dalam solat yang diimamkan oleh Imam Mahdi

    Adapun lokasi turunnya Nabi Isa dijelaskan oleh Rasulullah saw. dalam sebuah hadist berikut :


    “Isa ibn Maryam akan turun di ‘Menara Putih’(Al Mannaratul Baidha’) di Timur Damsyik”. (HR Thabrani dari Aus bin Aus)

    Kedatangan Nabi Isa akan didahului oleh keadaan dunia yang dipenuhi kezaliman, kesengsaraan & peperangan besar yang melibatkan seluruh penduduk dunia, setelah itu kemunculan Imam Mahdi yang akan menyelamatkan kaum muslimin, kemudian kemunculan dajjal yang akan berusaha membunuh Imam Mahdi , setelah dajjal menyebarkan fitnahnya selama 40 hari , maka Nabi Isa akan diturunkan dari langit untuk menumpaskan dajjal.