Monday, October 10, 2016

Bertabahlah duhai diri! Ujian itu adalah tanda Allah peduli

Wahai Jiwa Yang Tenang,

Apa khabar imanmu duhai diri? Moga-moga imanmu masih kukuh dan teguh walau acapkali dirempuh.

Bertahanlah. Bertabahlah.
Sememangnya dugaan demi dugaan yang kamu lalui itu sebenarnya adalah pemangkin kepada kekuatanmu sayang.


Ujian itu adalah lumrah dalam kehidupan.

Walau sebagaimana ombak badai melanda, pasakkan iman di dada. Jangan lemah duhai diri. Jangan beranggapan bahawa kamu sedang bersendiri.


Jangan beranggapan bahawa tiada yang sudi menemani. Jangan gusar, jangan cepat mengalah duhai diri.Pasti kamu sendiri menjadi sangsi. Mengapakah perjalanan hidupmu ini terlalu berliku dan berduri?

Pabila semakin kamu ingin mendekati-Nya, semakin banyak tujahan demi tujahan yang merintangi laluanmu. Seolah-olah ia sengaja meremukkan azam yang tertanam di dalam diri.

Sehinggakan kamu acapkali menangisi setiap yang terjadi!

Allah, jangan membiarkan ujian-ujian itu membunuh keinginanmu untuk berada di jalan-Nya.

Ketahuilah duhai diri, ujian itu adalah tanda Dia peduli. Ujian itu adalah bukti kasih sayang dari Ilahi. Masakan Dia bisa membiarkan kamu berlapang dada serta bersenang-lenang tanpa ujianNya?

DIA rindukan suaramu duhai diri. DIA memilihmu di antara jutaan manusia-manusia lain kerna DIA ingin mendengar tiap rintihan dan doamu. Betapa sayangNYa DIA akan kamu. Betapa peduliNya DIA akan kamu.

Bersyukurlah duhai diri. Kamu masih bernafas dengan sendiri. Kamu masih mampu mengorak langkah dan berlari.

Dan kamu masih bisa menjalani hari demi hari walau segala yang berlaku mengocak tenang di dalam diri.

Aduhai jiwa yang sarat dengan cinta,

Mengapa memilih untuk terseksa dan menderita? Andai ia cinta, mengapa perlu ada kisah-kisah airmata yang berjela-jela berbanding kisah-kisah gelak dan tawa. Cinta itu halus dan rapuh sifatnya.

Jika dirimu sandarkan cinta itu tanpa pegangan iman, pasti ia musnah dan hilang dari genggamanmu sayang. Cinta pada manusia itu tidak menjamin kepada kehidupan berumahtangga kelak.

Pasti akan rapuh. Pasti akan remuk. Pasti akan runtuh.

Lepaskan ia pergi dari hati. Benarkan ia terbang mencari pegangannya sendiri. Andai ia tertulis bahawa kamu tidak akan memiliki, usah ditangisi ketentuan ilahi.

Pasti punya hikmah yang tersembunyi. Pasti ada rencanaNya yang lebih membahgiakan dirimu nanti.

Percayalah duhai diri, bahagia itu pasti ada untuk dirimu yang tak pernah berhenti mencari.

Bukan Allah tidak tahu akan deritanya batinmu itu, sakitnya hatimu itu dan tercalarnya perasaanmu yang halus itu.

Tapi sayang, kepedihan dan kesakitan itulah yang akan membawa kamu mendekati Tuhanmu.

Pada DIA ada penawar segala beban dan duka. Bukankah 99 sifatNya itu sudah cukup meyakinimu untuk menyerahkan segala harapan dan keinginanmu sayang.


Bebaskan ia terbang untuk mencari arahnya sendiri sayang.

Jangan berterusan menganggap dirimu telah dilukakan, sebaliknya lihatlah dari sudut pandang yang berlainan. Mungkin ini teguran dari Tuhan. Mungkin juga ini peringatan agar kamu tersedar dari mimpi yang panjang.

Cinta sesama manusia itu melalaikan iman dan mengundang kemurkaan demi kemurkaan dari Tuhan.

Dan teguran dariNya itu adalah bukti cinta yang sejati dari Ilahi.


Duhai diri yang tenang riaknya,

Apa mahumu? Apa keinginanmu? Apa hendakmu sayang?

Luahkan, lontarkan dan tuturkan agar semuanya bisa faham. Usah dipendam segala rasa hatimu itu. Biarkan semua tahu. Biarkan semesta alam mengerti akan apa yang sebenar-benarnya tersirat di hati

Aduhai diri, andai bahagia yang dicari selama ini, bersyukurlah kerna dirimu telah ketemui. Bahagia itu tidak terletak pada sesuatu perkara sahaja. Bahagia itu universal sifatnya. Pejamkan mata duhai diri.

Dan cubalah mengingati setiap senyum dan tawa yang kamu rasai semenjak kedewasaan kamu ini. Pasti cukup banyak duhai diri. Pasti!

Akhir kalam, tersenyumlah duhai diri. Tertawalah, bergembiralah, berbahagialah dan bersyukurlah untuk segala yang terjadi pada masa kini dan pada masa hadapan nanti.

Walau hidup ini dirasakan terlalu sukar untuk dilalui, usah gentar duhai diri. Sang Rabbul Izzati ada menemani untuk disetiap keadaan dan situasi.

Bertabahlah duhai diri!


*Altikel ini adalah perkongsian dari cik merah, semoga memberi manfaat pada kita semua. 

Tuesday, January 26, 2016

Biodata ringkas dan salasilah Nabi Muhammad S.A.W.


BIODATA RASULULLAH SAW.

Nama: Muhammad bin ' Abdullah bin ' Abdul Muttalib bin Hashim

Tarikh lahir: Subuh Isnin, 12 Rabiulawal / 20 April 571M (dikenali sebagai tahun gajah, sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Ka ‘ abah)

Tempat lahir: Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah
Nama bapa: 'Abdullah bin ' Abdul Muttalib bin Hashim

Nama ibu: Aminah binti Wahab bin ‘ Abdul Manaf

Pengasuh pertama: Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW)

Ibu susu pertama: Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab)

Ibu susu kedua: Halimah binti Abu Zuaib As-Sa ‘ diah (lebih dikenali Halimah As-Sa ‘ diah. Suaminya bernama Abu Kabsyah)

Tarikh Kewafatan: Hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11H / 8 JUN 632m

Tempat Wafat: Madinah Al - Munawwarah
Usia: 63 tahun

Bentuk Fizikal: Baginda Digambarkan sebagai seorang yang tegap, Ketinggian sederhana, Tidak Terlalu Tinggi Tidak Terlalu Rendah. 
Baginda Berkulit Putih Kemerah merahan. 
Wajahnya Tampan, Rambut Nabi S.A.W Tidak Terlalu Kerinting Tidak Terlalu Lurus, Rambutnya Ikal dan Mencecah Bahu. 
Kata-kata Baginda Lembut tetapi Bernada Tegas.
Baginda Memiliki bola mata yang Hitam Pekat, Bulu Mata Yang Lentik serta Bahu Yang Lebar, Dada Baginda Berbulu, Telapak Tangan Dan Kaki Baginda tebal. 
Ketika Berjalan, Baginda Seakan - akan Berjalan Menuruni Tanah Yang Lanai. Ketika Menoleh,Baginda Menoleh(berbalik) Dengan Seluruh Badan. 
Diantara kedua Bahu Baginda Terdapat Tanda Kenabian.

Warna Kegemaran: Merah, Hijau, Putih

Makanan Kegemaran: Bali, buah kurma, buah tin dan buah anggur.

Sukan: Menunggang Kuda, Memanah Dan Berenang.




USIA 5 TAHUN 

  • Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalamnya.


USIA 6 TAHUN 


  • Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa ‘ (sebuah kampung yang terletak di antara Mekah dan Madinah)
  • Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muttalib.
USIA 8 TAHUN
  • Datuknya, ' Abdul Muttalib pula meninggal dunia.
  • Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.



USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun). 

  • Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan.
  • Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua - ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.
    USIA 20 TAHUN
    • Terlibat dalam peperangan Fijar . Ibnu Hisyam di dalam kitab ' Sirah ', jilid1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.
    • Menyaksikan ' perjanjian Al-Fudhul ' ; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Mekah.
    USIA 25 TAHUN
    • Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah.
    • Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah.
    • Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.
    • Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.


    USIA 35 TAHUN

    • Banjir besar melanda Mekah dan meruntuhkan dinding Ka ' abah.
    • Pembinaan semula Ka ' abah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Mekah.
    • Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ' Hajarul-Aswad ' ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.


    USIA 40 TAHUN

    • Menerima wahyu di gua Hira ' sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.


    USIA 53 TAHUN

    • Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.
    • Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.


    USIA 63 TAHUN

    • Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11H/ 8 Jun 632M.


    ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW.

    • Khadijah Binti Khuwailid
    • Saudah Binti Zam ‘ ah
    • ‘Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar)
    • Hafsah binti ‘ Umar (anak Saidina ‘ Umar bin Al-Khattab)
    • Ummi Habibah Binti Abu Sufyan
    • Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah)
    • Zainab Binti Jahsy
    • Maimunah Binti Harith
    • Safiyah Binti Huyai bin Akhtab
    • Zainab Binti Khuzaimah (digelar ' Ummu Al-Masakin '- Ibu Orang Miskin)


    ANAK-ANAK RASULULLAH SAW

    1. Qasim 
    2. Abdullah 
    3. Ibrahim 
    4. Zainab 
    5. Ruqaiyah 
    6. Ummi Kalthum 
    7. Fatimah Al-Zahra ‘

    ANAK TIRI RASULULLAH.

    Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).

    SAUDARA SESUSU RASULULLAH SAW

    IBU SUSUAN/SAUDARA SUSUAN.
    1. Thuwaibah 1. Hamzah

    2. Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad


    SAUDARA SUSUAN
    1. Halimah Al-Saidiyyah 1. Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
    2. Abdullah bin Harith bin Abdul ' Uzza
    3. Syaima ' binti Harith bin Abdul ' Uzza
    4. ' Aisyah binti Harith bin abdul ' Uzza

    BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SAW (ANAK-ANAK KEPADA ABDUL MUTTALIB)

    • Al-Harith
    • Muqawwam
    • Zubair
    • Hamzah - (**)
    • Al - 'Abbas - (**)
    • Abu Talib
    • Abu Lahab (nama asalnya ' Abdul ' Uzza)
    • Abdul Ka ‘ bah   
    • Hijl
    • Dhirar
    • Umaimah
    • Al-Bidha (Ummu Hakim)
    • 'Atiqah - (#)
    • Umaimah
    • Barrah
    • Safiyah (ibu kepada Zubair Al- ' Awwam) 

     
    (**) Sempat masuk Islam.
    (#)  - Ulama berselisih pendapat tentang Islamnya.


    Sabda Rasulullah SAW:

    "Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga." (Riwayat Al-Sajary daripada Anas RA)